Pages

Jumat, 12 April 2013

Cerita ''Negeri 5 Menara''




Kisah ini berkisar tentang enam budak lelaki yang meneruskan pelajaran di Pondok Madani. Mereka menempuh perjalanan yang panjang untuk ke pondok ini kerana masing-masing berasal dari tempat yang jauh. Mereka ialah Alif Fikri dari Maninjau, Raja Lubis dari Medan, Said Jufri dari Surabaya, Dulmajid dari Sumenep, Atang dari Bandung dan Baso dari Gowa.

Alif Fikri adalah pemain utama cerita ini. Ayahnya menghantarnya ke Pondok Madani. Mereka bersama-sama menaiki bas dan mengharungi perjalanan yang panjang. Saya agak terkesan melihat mereka, penjaga dan anak-anak yang mahu bersekolah di sini tidur di surau sepanjang tempoh yang saya kira boleh dipanggil tempoh percubaan. Remaja-remaja ini akan menduduki satu ujian yang melayakkan mereka untuk diterima menjadi warga Pondok Madani. Daripada ribuan yang hadir hanya ratusan yang berjaya melayakkan diri. Dan, Alif Fikri tersenarai dalam senarai daftar nama. Alif juga sebenarnya tidak menyerahkan hatinya di pondok ini kerana mahu bersekolah di Sekolah Tinggi.

Sumber

Antara dialog yang terkesan di hati saya adalah ketika ketua asrama membaca peraturan di Pondok Madani, peraturan pertama bukan berkaitan uniform sekolah atau displin seseorang pelajar itu.Tetapi pokok utamanya adalah perbaiki niat belajar di pondok tersebut. Ya, niat adalah satu perkara penting dalam hidup seorang Muslim. Dahulu semasa di SHAMS, saya selalu diingatkan mengenai perihal niat ini.

Kemudian, ketika di dalam kelas pertama, Ustaz Salman Ali telah cuba untuk memotong sebatang kayu menggunakan parang panjang yang berkarat. Usahanya bukan mudah kerana perlu dilakukan berulang kali sehinggalah berjaya. Poin penting yang ingin disampaikan adalah mengenai bidalan ini;

"Man Jadda Wajada"

Sesiapa yang bersungguh-sungguh akan berjaya. Kata-kata ini sangat penting dalam hidup kita. Saya percaya semua insan di muka bumi ini ingin berjaya. Tidak kisah kejayaan dalam apa jua bidang dan perkara. Kata Ustaz Salman lagi, ' bukan yang paling tajam tapi yang bersungguh-sungguh'.

Sumber

Di Pondok ini pada awalnya, bekalan tenaga elektrik selalu terputus. Enam sekawan ini yang dikenali dengan gelaran Sahibul Menara ataupun Pemilik Menara telah mengambil inisiatif memohon kepada Kiyai untuk membetulkan penjana di pondok tersebut. Usaha mereka telah membuahkan kejayaan. Kesungguhan boleh dilihat pada daya semangat mereka yang mahukan kehidupan yang lebih baik dengan adanya bekalan eletrik yang tidak selalu terpadam.

Sahibul Menara adalah gelaran untuk mereka berenam memandangkan mereka menjadikan sebuah menara di pondok itu sebagai tempat perbincangan mereka. Di bawah menara itu mereka merancang untuk ke lima negara lain.

Antara momen yang saya ingati ialah ketika seorang pegawai tentera datang berjumpa Kiyai bagi pihak ketuanya yang memohon supaya anaknya diterima ke pondok tersebut. Tetapi Kiyai telah menolak permohonan tersebut dengan mengatakan, tindakan paling bijak adalah terima kegagalan. Anak ketuanya itu sebelum ini telah gagal dalam ujian kelayakan. Bagi saya, Kiyai telah melakukan sesuatu perkara yang betul. Beliau tidak melihat kepada siapa yang meminta tetapi beliau telah meletakkan kebenaran di tempatnya yang betul.

Momen perpisahan Baso juga memberi erti kepada cerita ini. Nenek Baso yang sakit memerlukan Baso di sisi. Baso terpaksa keluar dari pondok tersebut. Beliau juga mengenangkan kejerihan jirannya yang menaiki kapal berhari-hari untuk menyampaikan khabar tersebut. 

Kesungguhan mereka dalam mempersembahkan Ibnu Batuttah walaupun hanya berada di Gred Dua memang patut dipuji. Sebuah persembahan didedikasikan kepada Baso yang mengkagumi kisah pelayaran Ibnu Batuttah.

Cerita ini mempunyai pengakhiran yang gembira. Mereka, Sahibul Menara berjaya di kedudukan masing-masing dan masih berhubung di antara satu sama lain. Cerita ini mempunyai banyak nilai murni yang patut diteladani.


 
separador

0 komentar:

Posting Komentar

Followers